Pages

Powered by Blogger.
RSS

Sejarah Wajib Lulus di Peringkat SPM

2013
Subjek Sejarah wajib lulus SPM

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu adalah sama seperti langkah menjadikan mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapatkan sijil SPM. Selaras dengan pandangan yang telah dikemukakan oleh sebahagian besar jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus.

‘‘Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, ia adalah mata pelajaran yang wajib diambil oleh setiap pelajar tetapi tidak wajib lulus,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada perhimpunan berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut Muhyiddin, 2013 dipilih bagi melaksanakan langkah itu berikutan kementerian memerlukan masa untuk melatih guru dan menyediakan pelajar bagi menghadapi sistem baru berkenaan supaya mereka tidak terkejut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), maka mata pelajaran Sejarah akan dijadikan subjek teras di sekolah rendah mulai 2014. Seperti yang telah dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah pada masa ini elemen sejarah hanya diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kaedah pentaksiran berasaskan sekolah akan dimulakan pada 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada tarikh asal ditetapkan.

‘‘Kita akan mulakan lebih awal kerana ada tuntutan daripada perwakilan UMNO supaya ia disegerakan tetapi kita perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha bagi melatih semula guru dan sebagainya,” katanya.Mengenai langkah meningkatkan jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknik dan vokasional, beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM340 juta untuk tujuan itu di dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah tidak mencukupi dan akan ditambah pada masa depan.

Selain itu juga, katanya, kerajaan akan menambah dua sekolah menengah pendidikan vokasional khusus untuk pelajar kurang upaya pendengaran, penglihatan dan yang menghadapi masalah pembelajaran.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti saranan Pergerakan Wanita UMNO ketika perhimpunan itu supaya kerajaan mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara. Saya bersetuju bahawa sudah sampai masanya satu laporan baru dikeluarkan tentang cara kita menambah baik sistem pendidikan negara pada masa akan datang,’’ katanya.

Artikel Penuh: 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS